SEVILLE – Pemain pertahanan veteran Sepanyol, Sergio Ramos seperti ‘sirih pulang ke gagang’ apabila mengambil keputusan menerima tawaran kelab Sevilla selepas menandatangani kontrak selama semusim awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan Ramos kembali ke pangkuan Sevilla buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun selepas berhijrah daripada kelab itu pada 2005 ke Real Madrid dengan nilai perpindahan ketika itu sebanyak €27 juta (RM135 juta).
Selepas mewakili Real selama 16 tahun dengan menjuarai pelbagai trofi, Ramos membuat pilihan untuk berkelana bersama kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) sebelum kontraknya berakhir, Jun lepas.
Kata Ramos, keputusan untuk berhijrah ke Sevilla adalah pilihan yang tepat kerana kelab itu sangat berjasa dalam meningkatkan bakat bola sepaknya di peringkat akademi sehingga berusia 19 tahun.
“Ini adalah detik yang indah buat karier saya kerana kembali menyarung jersi pasukan yang berjasa dalam kariernya buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.
“Fokus saya ketika ini adalah sama yang mana mahu membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini,” katanya yang akan menerima gaji sebanyak €2 juta (RM10.5) juta semusim.
Difahamkan, Ramos menolak tawaran mewah dengan gaji sebanyak €20 juta (RM100.5 juta) setahun daripada kelab Arab Saudi, Al-Ittihad dan Galatasaray €11 juta (RM55.2 juta). – AGENSI