PETALING JAYA – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) tampil selaku perintis bagi penerbitan buku panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Prolintas dalam kenyataan hari ini berkata, buku panduan tersebut direka khusus untuk panduan Unit Integriti dan Governans bagi Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).
Ujarnya, perasmian buku itu telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Hari Integriti 2023 yang dianjurkan oleh Prolintas dengan kerjasama SPRM pada Isnin lalu.
“Inisiatif berkenaan menjadi simbolik misi usahasama berterusan antara Prolintas dan SPRM bagi menggalakkan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang berkesan dalam ruang lingkup SBK.
“Versi terbaharu tatacara itu telah dibangunkan secara teliti oleh Divisyen Pengurusan Integriti Agensi, SPRM yang dipimpin oleh Pengarah Divisyen berkenaan, Datuk Nor Azmi Karim.
“Prolintas menjadi peneraju bagi terjemahan buku panduan berkenaan ke dalam Bahasa Inggeris dan menaja penerbitannya yang akan diedarkan ke lebih 300 SBK seluruh negara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, melalui inisiatif itu, SPRM telah menawarkan insentif pengecualian cukai kepada pihak syarikat selain menjadi penerbit bersama rasmi buku panduan itu.
Katanya, selain Prolintas, panduan baharu buku itu turut dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Khazanah Nasional Berhad, Indah Water Konsortium (IWK) dan UEM Sunrise Berhad.
“Buku itu merupakan sumber penting bagi SBK khususnya bagi Unit Integriti dan Governans, selari dengan saranan Jabatan Perdana Menteri.
“Buku ini juga menerangkan panduan khusus bagi pihak terlibat untuk memperkukuh nilai integriti organisasi masing-masing sejajar dengan matlamat SPRM,” katanya.
Sementara itu, pada program Hari Integriti 2023, turut dijalankan sesi perkongsian ilmu dan forum yang disampaikan oleh panel jemputan yang berpengalaman luas termasuklah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.
Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Unit Integriti dan Governans SBK seluruh negara telah hadir ke program berkenaan. – KOSMO! ONLINE