PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU) dipimpin oleh Kiyai Haji Yahya Cholil Tsaquf bersama jajarannya di Jakarta, Indonesia, malam tadi.
Anwar berkata, pertemuan tersebut selepas acara Temu Anwar Jakarta yang mana ia menyentuh kepentingan menguasai dan memelihara ilmu turath serta keupayaan membaca situasi semasa.
“Saya singgung pengalaman panjang saya bersama Almarhum Abdurrahman Wahid (Gus Dur), mantan Presiden Indonesia serta pemimpin NU yang saya anggap sebagai sahabat setia dari waktu saya hadapi kesukaran dalam perjuangan politik saya.
“Saya juga zahirkan penghargaan kepada kepimpinan NU yang sudi hadir untuk bertemu dan bertukar pandangan. Moga perbincangan seperti ini akan dapat dilakukan lagi demi manfaat umat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Menerusi hantaran malam tadi pula, Anwar memberitahu, beliau menyantuni mahasiswa dan anak muda dalam program Temu Anwar Jakarta, pertama kali seumpamanya diadakan di luar negara selepas program rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.
Menurutnya, sesi itu juga dihadiri selebriti terkenal Indonesia seperti Raffi Ahmad dan isteri, Nagita Slavina selain pentolan Dewa19, Ahmad Dhani serta ratusan anak muda dalam suasana penuh harmoni serta santai.
“Beberapa soalan mendesak ditanya antaranya keperluan meningkatkan hubungan anak seni terkait dua negara, soal pendidikan, diplomasi dan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan.
“Sesi ini juga ruang untuk saya jelaskan secara santai akan hala tuju Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani untuk difahami warga hadirin, termasuk yang menyaksikan secara langsung di alam maya,” katanya.
Ujarnya, lebih banyak penjelasan dibuat berkaitan hala tuju kerajaan daripada disalah tafsir mahupun termakan dengan fitnah dalam zaman yang penuh dengan tantangan kepesatan teknologi, termasuk di rantau ASEAN ini. – KOSMO! ONLINE