JAKARTA – Sekumpulan penduduk tempatan di Nusa Tenggara Barat, Indonesia menggali semula kubur seorang lelaki yang baru sebulan meninggal dunia selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari dalam tanah, lapor program berita Liputan6 hari ini.
Video memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam akaun Facebook @Salome Kuah Mamagina.
Orang ramai nekad menggali semula kubur itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat seolah-olah seseorang sedang memukul papan yang menutupi liang lahad selama dua hari berturut-turut.
Kubur itu dikatakan milik seorang penduduk bernama Ahmad yang meninggal dunia kira-kira 42 hari lalu.
Ketika kubur itu digali, penduduk kampung menghidu bau busuk daripada mayat yang sudah mereput lalu mereka menutup semula kubur itu.
Walaupun mendapat persetujuan keluarga si mati, tindakan penduduk kampung itu mendapat bantahan pengguna di media sosial.
“Kenapa perlu digali semula? Atas alasan ingin tahu? Bagaimana mungkin mayat itu hidup semula. Mungkin ramai menganggap bunyi ketukan daripada mayat yang hidup semula,” komen seorang netizen.
“Ramai bersekolah tetapi tidak berpendidikan,” komen netizen lain. – Agensi