PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai penguat kuasa disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM20,000, semalam.
Menurut sumber, suspek difahamkan menerima rasuah berkenaan sebagai dorongan untuk tidak menyenaraikan nama seorang individu dalam senarai dikehendaki dan tidak mengeluarkan waran tangkap atas kesalahan berkaitan senjata api.
“Suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira 4 petang.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di ibu negara dipercayai menerima wang rasuah RM20,000 secara bulanan daripada individu terbabit,” jelasnya.
Sehubungan itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin telah mengesahkan tangkapan individu terbabit.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan selepas SPRM merekodkan keterangannya. -KOSMO! ONLINE.