KUALA LUMPUR – Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-30 berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Muhammad Hafizuddeain yang turut dinaikkan pangkat ke Jeneral dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Mailis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas itu disempurnakan dan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Ia dimulakan dengan acara Pemakaian Pangkat dikuti acara Serah Terima Tugas di antara PTD ke-29 dengan PTD ke-30 yang baharu dilantik.
Sehubungan itu, Mohamad yakin pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai PTD baharu berupaya membawa Tentera Darat (TDM) ke tahap yang lebih tinggi.
“Mengambil kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hafizuddeain atas pelantikannya sebagai PTD ke-30.
“Mempunyai pengalaman luas selepas berkhidmat selama 35 tahun, saya yakin beliau berupaya meneraju TDM dengan baik selain memberikan kepimpinan dan hala tuju baharu,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Muhammad Hafizuddeain merupakan anak kelahiran Segamat, Johor yang menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1985 sebelum meneruskan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah Batalion Keempat Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan.
Sepanjang perkhidmatan, beliau juga menghadiri pelbagai kursus antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Sarjana Pengurusan di Filipina, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.- KOSMO! ONLINE