MESKIPUN sudah 15 tahun berpisah, penyanyi Maia Estianty masih enggan berkongsi pentas dengan bekas suami, Ahmad Dhani.
Menerusi muat naik sebuah video, anaknya Dul Jaelani bertanya mengapa Maia tetap dengan pendirian sedemikian biarpun anak-anak mereka berkeras melihat mereka ‘bersatu’.
Maia menjelaskan, sebab utama dia enggan menyanyi bersama Ahmad Dhani adalah bagi menghormati perasaan pasangan masing-masing.
“Anak-anak perlu faham ibu dan ayah sudah ada pasangan masing-masing. Hormati mereka,” ujarnya.
Sebelum ini, Maia pernah mendedahkan kepada media, dia mengelak untuk berkomunikasi dengan Ahmad Dhani meskipun berkaitan perihal anak-anak.
Bagaimanapun, pelantun lagu Karena Dia itu menafikan masih menyimpan dendam terhadap vokalis kumpulan Dewa 19 tersebut.
“Kami sudah lama tidak bercakap. Anak-anak pun sudah besar. Tiada sebab lain cuma kami memang tidak serasi,” ujarnya.