fbpx

Mahkamah: Kes saman fitnah Roslin – Kenny Goh selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenny (kiri) dan Roslin bersalaman ketika prosiding kes di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh Amir Khalid.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang dikemukakan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ia berikutan Kenny Goh atau nama sebenarnya Goh Chee Keong, 57, selaku plaintif dan Roslin atau nama Muhammad Roslin, 48, sebagai defendan dalam kes saman itu bersetuju untuk menyelesaikan kes itu tanpa melalui perbicaraan.

Semasa prosiding, peguam Datuk Seri Jahabardeen Mohamed Yunoos mewakili Kenny memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

“Terma penyelesaian antaranya defendan (Muhammad Roslin) perlu membuat permohonan maaf dengan membaca pernyataan maaf di mahkamah terbuka. Selain itu, permohonan maaf perlu disiarkan di empat media iaitu Berita Harian, Utusan, NST dan The Star,” katanya.

Sementara peguam Haijan Omar yang mewakili Roslin mengesahkan perkara itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes yang dipersetujui kedua-dua pihak selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5,6,7,11 dan 12 September 2023.

“Semoga hubungan profesional dan peribadi dapat dipulihkan semula. Selamat maju jaya Encik Roslin,” kata Roz Mawar.

Terdahulu Roslin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesal membuat kenyataan fitnah ke atas plaintif, Kenny di laman media sosial miliknya pada Januari tahun lalu.

“Saya, Muhammad Roslin Hashim dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Datuk Kenny kerana telah membuat kenyataan fitnah dan menyinggung terhadap Datuk Kenny semasa strim langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook saya, Abe Lin pada tarikh 19.01.2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Kenny. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Kenny melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.

“Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Kenny dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Kenny serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Kenny.

“Saya beraku janji bahawa tidak akam sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa -apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Datuk Kenny ,” katanya ketika membaca permohonan maaf itu di dalam kandang saksi.

Sementara itu, Roslin ketika ditemui selepas prosiding, berkata beliau berasa lega kerana semuanya telah berakhir dan akan menjadikannya sebagai pengajaran.

Kenny pula ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau menerima permohonan maaf yang dikemukakan Roslin itu.

“Saya menerima permohonan maaf daripada Roslin dan bersetuju dengan Roslin yang kita semua perlu bergerak ke hadapan. Saya sudah mengenali Roslin lama,” kata Kenny.

Berdasarkan pernyataan saman yang dikemukakan, Kenny selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Roslin pada 28 Mac 2022 mendakwa, Roslin mengungkapkan kenyataaan fitnah dan menyinggungnya dalam Facebook Live menerusi akaun Facebook Abe Lin yang ditonton ratusan pengikutnya yang turut terdiri daripada pemberita dari pelbagai agensi berita, media cetak, media atas talian dan media sosial.

Dakwa Kenny, kenyataan fitnah itu bermaksud antaranya beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan BAM serta perosak persatuan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI