fbpx

Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan selamat dikebumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Jaafar (dua dari kiri) berkenan menabur bunga di pusara Allahyarham Abdullah Fadzil di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta, Ipoh hari ini.

IPOH – Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta, di sini petang tadi.

Jenazah Abdullah Fadzil, 78, yang juga merupakan bekas Orang Besar Jajajah Kinta pada 2004 itu selamat dikebumikan pada pukul 3.15 petang.

Terdahulu, jenazah yang selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Sungai Ramal Luar di Kajang, Selangor itu tiba di Masjid Panglima Kinta pukul 2.20 petang sebelum disembahyangkan dengan diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin, Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Che Ezatul Hamsiah Hussin, 77, dan Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 66, serta tujuh anak.

Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (1993- 2000) meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur akibat radang paru-paru.

Selain memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan (1995-1999), Allahyarham juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Fizelle, 52, berkata, bapanya dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu selepas mengalami demam panas dan oksigennya menurun.

Katanya, pemeriksaan X-ray ke atas Allahyarham mendapati terdapat jangkitan pada paru-paru menandakan pneumonia atau radang paru-paru.

“Allahyarham dimasukkan ke High Dependency Unit selama dua hari, keadaannya semakin baik, namun Allah lebih menyayanginya. Sebelum ini, dia beritahu jika apa-apa terjadi kepadanya, dia mahu dipulangkan ke ‘gagang’ kerana Masjid Panglima Kinta ini adalah milik keluarganya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI