fbpx

Jasmine Loo kini disoal siasat SPRM – Azam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam pada sidang akhbar selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memulakan soal siasat terhadap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan sejak Isnin lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, Jasmine Loo kini disiasat berhubung jenayah rasuah dan penggubahan wang haram.

Beliau berkata, soal siasat sudah pun dimulakan sejak Isnin lalu dan ia dijangka mengambil masa selama tiga hari.

“Bagaimanapun, pasukan penyiasat SPRM boleh melanjutkan proses soal siasat jika diperlukan. Ketika ini, Jasmine Loo masih dalam tahanan polis.

“Kita tidak perlu menahan reman beliau (Jasmine Loo), sebaliknya polis akan membawanya kepada kami untuk proses soal siasat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Ditanya sama ada usaha menjejaki Jho Low semakin hampir susulan penahanan Jasmine Loo, Azam berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

“Saya tidak pasti, jika tanya pendapat saya..belum lagi dan masih jauh,” katanya.

Media pada Mei lalu melaporkan, Jho Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China seperti didakwa pengarang bersama “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope malah, turut dilaporkan bersembunyi di Macau.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI