PENGGUNAAN robot semakin berkembang bagi menggantikan tenaga manusia dalam beberapa sektor.
Walaupun tidak sepenuhnya, namun kehadiran robot dilihat sebagai salah satu alternatif untuk menjadikan tugas lebih mudah dilaksanakan.
Hal ini turut melibatkan tugas dalam pengurusan bencana, di mana kewujudan robot kecil merupakan salah satu inovasi bagi membantu misi menyelamat.
Penggunaan robot kecil dikatakan dapat membantu mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan di tapak bencana.
Perkara tersebut turut menjadi inspirasi buat pasukan pereka di Universiti Colorado-Boulder, Amerika Syarikat menerusi inovasi robot CLARI.
Menurut ketua pasukan yang juga pelajar kedoktoran kejuruteraan, Heiko Kabutz, CLARI merupakan akronim untuk ‘Compliant Legged Articulated Robotic Insect’.
“Robot ini diilhamkan daripada serangga mewakili konsep robot kecil dan boleh menyusup melalui celah mendatar yang sempit.
“Inovasi CLARI dihasilkan dengan kerjasama Pembantu Prof. Kaushik Jayaram yang sebelum ini mencipta robot hasil ilham daripada lipas.
“Robot berkenaan mampu meleperkan dirinya untuk menyusup melalui celah menegak,” katanya kepada media antarabangsa baru-baru ini.
Mendedahkan tentang CLARI, Kabutz menjelaskan, robot kecil itu hanya sebesar sekeping gulungan sushi dan di tengah badannya mempunyai bentuk segi empat sama.
Ia juga mempunyai empat kaki dan lapisan luar yang fleksibel.
Jelasnya lagi, setiap bahagian menggabungkan satu kaki bersama papan litarnya sendiri dan dwi-penggerak. Terangnya, ia bagi menggerakkan kaki ke hadapan dan ke belakang serta dari sisi ke sisi.
“Ini bermakna, setiap kaki boleh beroperasi secara bebas daripada yang lain.
“Apabila bergerak merentasi tanah lapang, CLARI kekal dalam bentuk segi empat sama untuk kelajuan dan kestabilan optimum,” ujarnya.
Tambahnya, jika ia menghadapi jurang terlalu sempit untuk dilalui dalam bentuk itu, robot tersebut boleh mengkonfigurasi semula dirinya menjadi bentuk lebih panjang dan tirus.
Saiz CLARI adalah kira-kira 34 milimeter (mm) lebar apabila segi empat sama dan hanya 21 mm lebar ketika memanjang.
Versi semasa CLARI disambungkan kepada sumber kuasa dan kawalan daripada daya pengecas.
Buat masa ini, ia tidak mampu bertahan lama dan hanya melakukan perjalanan jarak pendek.
Bagi bentuk rekaan, ia dikuasakan dengan bateri dan dilengkapi penderia yang membolehkannya bergerak secara automatik melalui persekitaran kompleks.
“Para saintis juga ingin menjadikan robot lebih kecil. Namun, robot dilengkapi dengan lebih banyak kaki untuk meningkatkan kebolehgerakan.
“Ia sama seperti apabila kita cuba menangkap serangga, robot ini juga boleh hilang.
“Namun, jika kami mempunyai robot dengan keupayaan labah-labah atau lalat, kami boleh menambah kamera atau penderia. Kini, kami dapat meneroka ruang yang tidak boleh dimasuki sebelum ini,” jelasnya.
Kongsinya lagi, kertas kerja mengenai CLARI telah diterbitkan dalam jurnal ‘Advanced Intelligent Systems’.