LABUAN – Seorang doktor maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di kawasan berhampiran Simpang Rangas pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai L. Harivin, 30, berasal dari Chemor, Perak disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan kereta dari arah Jalan Bukit Kalam menghala ke Jalan Sungai Bedaun melalui Jalan Bebuloh.
“Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh dari arah Jalan Sungai Bedaun hingga bertembung dengan kereta yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun.
“Pertembungan menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hamizi berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal apabila melalui satu selekoh ke kiri jalan sebelum masuk ke lorong pemandu wanita terbabit.-KOSMO! ONLINE