fbpx

Dilabel pengemis, Nadeera ‘koyak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI, Nadeera terluka dengan sikap individu tidak dikenali yang tergamak melabelnya sebagai pengemis.

PENYANYI, Nadeera mengakui terluka membaca komen berbaur penghinaan ditinggalkan individu tidak dikenali menerusi mesej dalam Instagram Story.

Dianggap seperti pengemis, penyanyi yang muncul dengan single Emas itu tidak menyangka hasrat menjalinkan kerjasama dengan pihak lain tidak disenangi individu terbabit.

Selepas melalui pelbagai dugaan sepanjang 11 tahun menjual bakat, dia merasakan tindakan individu tersebut seakan cuba membunuh semangat yang masih bersisa.

Ketika meraikan kemunculan Emas, kata nista seumpama itu sedikit sebanyak mengganggu emosi ditahan selama ini selepas berterusan menjadi mangsa hinaan yang membuatkan perasaannya sayu.

Menurut Nadeera lagi, bahasa digunakan pemilik akaun terbabit sangat kasar, namun kecaman itu dijadikan penyuntik semangat untuk tegar mengejar impian.

“Baca mesej macam tu, rasa nak kemas beg baju sekarang juga nak balik Mersing”.

“Sedih, sayu tapi apa boleh buat? Ini yang Nad suka, ini yang Nad pilih, ini yang Nad idamkan.

“Mengemis satu kata yang melukakan hati, tapi Nad ambil sebagai ubat yang akan terus menguatkan Nad untuk meneruskan perjalanan dalam bidang yang Nad cintai ini,” tulisnya.

Mengakui tidak mempunyai pakej lengkap yang menjadi tiket mudah untuk menceburi dunia seni,  pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu menegaskan telah berusaha keras untuk melayakkannya bergelar artis rakaman.

“Nad dah ada dalam industri hiburan sebelas tahun, sejak Vokal Bukan Sekadar Rupa musim dua pada 2012 sampailah sekarang.

“Bayangkan masa yang Nad korbankan untuk berada pada tahap ini. Sedangkan tahap ini bukan megah mana pun.

“Nad masih lagi bergelut untuk berlari, untuk dikenali. Cuma Nad anggap Big Stage sebagai peluang kedua. Nad tak ada muka lawa, duit banyak, harta melimpah, tapi Nad ada semangat,” tambah Juara Big Stage musim lima itu.

Menurut Nadeera lagi, berbekalkan semangat menggunung itu dia cekalkan hati, seterusnya mahu bekerjasama dengan pihak lain.

“Semangat yang tak akan luntur untuk terus berjuang. Nad bukan siapa-siapa, jadi Nad perlukan kolaborasi dengan mereka yang berpengalaman.

“Bukan mengemis tetapi mahu belajar sesuatu dan berkongsi ilmu,” luahnya panjang lebar.

Nadeera yang juga juara Lagu Cinta Kita musim kedua itu turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat.

“Buat mereka yang sokong Nad, terima kasih ikhlas dari lubuk hati. Teruskan sokong #EmasNadeera okay?,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi yang meraih pujian ramai artis senior itu dilihat turut memuat naik komen ditinggalkan individu terbabit yang turut menyertakan ‘avatar’ wajah sedih.

“Tak habis-habis kolaborasi. Lawak la. Lagu dah sedap dah tapi bila tengok IG story, pening pula.

“Aku tengok hari hari kau ‘post’ begini. Nak jadi penyanyi ke jadi pengemis?,” tulis individu berkenaan.

Terdahulu, ini bukan kali pertama bakat berusia 30 tahun itu dikutuk, ketika final Big Stage pada 8 Julai lalu, ada netizen menyamakan rupa parasnya dengan seekor haiwan sehingga dia menangis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI