PETALING JAYA – Gelagat seorang penunggang motosikal yang memandu secara berbahaya di sebuah jalan berliku dipercayai di Jalan Bukit Tangga, Seremban, Negeri Sembilan, sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.
Menurut video yang berdurasi 33 saat yang tular di laman Facebook, pengguna jalan raya itu sempat menyuarakan kerisauannya terhadap cara pemanduan penunggang motosikal terbabit kepada isterinya.
Beberapa saat kemudian, penunggang motosikal tersebut ditemui terjatuh ketika pengguna jalan raya tersebut melalui selekoh berikutnya.
“Jalan licin bang. Kan dah jatuh. Itulah, pakai lagi tayar murah,” kata pengguna jalan raya tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna yang mengenali jalan tersebut mengakui jalan tersebut dipenuhi dengan selekoh berbahaya dan telah meragut banyak nyawa.
“Jalan ini dah lama. Orang tak pakai sangat sebab sudah berlumut dan berpasir. Kalau pakai tayar mahal pun boleh berpusing,” Kata Jebat.
“Pakai tayar mahal belum tentu selamat kalau tidak berhati-hati semasa melalui selekoh tajam. Itulah, pengalaman kan guru yang terbaik,” kata Suresh.
“Sudahlah terjatuh, kesian penunggang motor itu kena marah,” kata Bard. – KOSMO! ONLINE