PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengukuhkan multilateralisme yang terjalin selama ini pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 di Jakarta, Indonesia hari ini.
Anwar berkata, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Penaiktarafan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan memperdalam integrasi ekonomi serantau.
“Saya menggesa kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang pertanian bagi menangani krisis keselamatan makanan serta membangunkan sumber manusia dengan memupuk inovasi, teknologi dan pendidikan teknikal.
“Malaysia juga mengalu-alukan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China pada 2024 yang memberi ruang untuk terus memupuk persahabatan yang berdaya tahan dalam kalangan generasi masa depan,” katanya pada hantaran Facebook hari ini. – KOSMO! ONLINE