Dress shoes atau kasut khusus untuk acara formal dan semiformal dikenali sejak awal abad ke-20.
Tradisi pemakaian kasut ini dimulai di benua Eropah khususnya oleh golongan intelektual Itali dan Inggeris.
Kasut acara formal ini hingga kini menjadi pilihan lelaki kerana rekaan serta material atau bahan yang digunakan cukup versatil dan timeless. Material yang digunakan dalam pembuatan dress shoes juga pelbagai seperti kulit, suede dan kanvas.
Kini, ada juga yang menggayakan dress shoes untuk penampilan smart casual.
Sebelum mencuba kasut yang mahu dibeli, cuba minta diukur tapak kaki anda terlebih dahulu. Anda mungkin rasa anda tahu saiz kaki anda, tetapi mungkin juga anda salah, kerana kadangkala saiz kasut berbeza antara satu jenama dengan jenama yang lain.
Apabila anda menyukai rekaan kasut tertentu dan anda mahu mencuba, pastikan anda memakainya sambil berjalan-jalan di sekitar kedai tersebut.
Dengan cara inilah kita boleh rasakan keselesaan kasut tersebut.
Belilah beberapa kasut dan pakailah secara bergilir-gilir supaya tahan lama.
Pastikan kasut anda sentiasa bersih dan kilatkan ia selalu (jika perlu). Kasut yang berkualiti juga menjamin penampilan terbaik anda.
Secara amnya, ada empat jenis kasut formal yang wajib ada dalam almari lelaki yang pentingkan keterampilan dalam gaya berpakaian iaitu oxford, derby, monk strap dan brogue.
Oxford
Kasut oxford mulanya dikenali berasaskan institut pendidikan Inggeris. Para siswa yang dikenali sebagai Oxfornians memakai kasut oxford untuk acara tertentu di kawasan kampus. Pastikan anda miliki kasut oxford dalam rona hitam, ia cukup segak digayakan dengan sut sebagai pelengkap penampilan.
Monk strap
Kasut jenis monk strap pula sangat unik kerana gabungan elemen oxford dan derby dalam rekaan keseluruhannya. Istimewanya kasut ini selalunya didatangkan dalam edisi dual fabrics, ia tidak mempunyai tali, tetapi mempunyai elemen seperti tali pinggang, di mana terdapat penyangkuk atau kancing logam yang berfungsi sebagai pengikat kasut ini. Dengan siluet klasik, kasut monk strap juga dapat memperlihatkan sisi formal pada gaya lelaki yang memakainya.
Brogue
Kasut brogue mempunyai elemen rekaan seperti lubang-lubang kecil yang menghiasi bahagian luar kasut. Material yang selalu digunakan bagi menghasilkan kasut ini adalah saturated leather.
Derby
Sementara itu, kasut jenis derby pernah dikenali sebagai kasut khusus untuk aktiviti olahraga atau kegiatan berburu. Seiring perkembangan era fesyen kontemporari, kasut derby berkembang menjadi kasut semiformal tetapi masih mengekalkan siluet sporty seperti awal kemunculannya. Gayakan padanan kasut derby dan briefcase rona serupa untuk lebih gaya. Material suede dalam rona coklat gelap (dark brown) paling popular serta menjadi pilihan lelaki yang pentingkan gaya.