“ADIK, persetankan mereka yang menjatuhkan kau.”
Itu nasihat aktres, Reen Rahim kepada pelakon, Sweet Qismina yang menjadi sasaran netizen susulan insiden kesalahan pengumuman nama pemenang pertandingan Bintang Kecil 2023 pada Ahad lalu.
Kata Reen, 34, walaupun dikecam hebat, Sweet harus diberi peluang untuk membuktikan kemampuan menjadi seorang hos selepas ini.
“Netizen ini tak pernah nak beri peluang ya? Anda ingat keluar dari perut terus pandai ke?
“Kalau nak jadi hebat memang perlu melalui fasa begini. Percayalah, dia akan kembali sebagai individu yang lebih kuat selepas menghadapi episod penuh mendebarkan sebegini,” kata pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim itu dalam InstaStory.
“Adik, persetankan mereka yang menjatuhkan kau. Mereka yang bercakap negatif adalah ‘loser’.
“Orang yang berjaya pasti nampak kekuatan adik dan teruskan menyokong. Teruskan perjalanan dan kekal bahagia ya,” ujarnya.
Semalam, Sweet menerima kecaman hebat apabila tersalah mengumumkan nama pemenang pertandingan Bintang Kecil RTM susulan masalah teknikal.
Selain itu, pemilihannya sebagai pengacara juga dikatakan kurang sesuai kerana didakwa tidak memiliki bakat sebagai seorang hos. – KOSMO! ONLINE