KUALA LUMPUR – Beberapa agensi dibawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) termasuk penyedia latihan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) telah menukar program automotif sedia ada kepada program melibatkan kenderaan elektrik (EV).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, program automotif melibatkan penggunaan enjin pembakaran dalaman sama ada yang berasaskan petrol atau diesel kini ditukar kepada EV.
“Latihan automotif sekarang (perlu) menjadi latihan kepada EV dan ini bukan saja menjadi suatu cabaran kepada KSM, kementerian lain juga melakukan perkara yang sama.
“Seseorang walaupun ada kemahiran tertentu, tidak boleh kata sudah cukup sebab teknologi dan industri sentiasa berubah. “Upskilling” (peningkatan kemahiran) tidak boleh dielakkan,” katanya pada sidang media sempena majlis Pelancaran Indeks Latihan Kebangsaan (NTI) anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini hari ini.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan dalam tempoh 10 tahun lagi menjelang 2033, EV diramalkan mula membanjiri jalan raya di negara ini apabila harganya menjadi lebih murah dan mampu milik berbanding sekarang.
Situasi itu akan membuatkan lebih ramai rakyat Malaysia akan membeli kereta tersebut sehingga ia bakal menguasai kira-kira 25 peratus pasaran kenderaan di negara ini.
Jika keadaan itu berterusan, Malaysia dijangka menggunakan EV sepenuhnya dalam tempoh 30 tahun akan datang kerana ia lebih praktikal, kos penyelenggaraan murah, mesra alam dan banyak tempat pengecasan disediakan.
Keadaan itu namun menimbulkan kebimbangan golongan mekanik sekiranya kemahiran mereka tidak lagi diperlukan, tetapi dalam masa sama menyatakan kesediaan mempelajari tentang penyelenggaraan EV.
Terdahulu, Sivakumar berkata, Malaysia diramalkan akan bertukar sepenuhnya kepada penggunaan EV sesuatu yang memang akan berlaku, malah ia adalah trend di seluruh dunia.
“Ini yang sebutkan kita perlu bersedia. Kita perlu memastikan bahawa mereka (mekanik) yang sudah terlatih dalam industri ini melakukan “upskilling” kepada yang baru dan yang terkini dalam industri tersebut.
” Memang perubahan ini sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Salah satu objektif NTI ini juga adalah untuk memastikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.