fbpx

Polis bantuan terlepas tembakan dalam bank, tiga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESAN tembakan pada lantai yang dilepaskan seorang polis bantuan ketika berada di dalam sebuah bank di Jasin, Melaka, hari ini.

JASIN – Suasana di sebuah bank dekat sini bertukar kecoh selepas seorang polis bantuan telah melepaskan tembakan tanpa sengaja sehingga menyebabkan tiga individu mengalami cedera ringan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, dua mangsa merupakan pelanggan dengan masing-masing mengalami luka kecil di paha serta betis, manakala seorang pengawal keselamatan luka di telinga kanan akibat terkena serpihan lantai yang pecah.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah menerima aduan berhubung insiden itu pada pukul 12.55 tengah hari.

“Polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan seorang polis bantuan dari sebuah syarikat perladangan telah terlepas tembakan di dalam bank dan tiga individu mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan lantai.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, insiden tersebut berlaku ketika anggota itu cuba membetulkan kedudukannya semasa memegang senjata api sebelum tiba-tiba terlepas tembakan ke arah lantai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, senjata yang terlibat dalam kejadian itu adalah senapang jenis Vinwinchester Model 1200 GA.2 3/4 Chamber Siri L 1207477 dan satu kelongsong peluru.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, ketika kejadian senjata api tersebut didakwa berada dalam keadaan tergantung pada bahu, manakala muncungnya berada di bawah menghala ke lantai.

“Kita percaya kejadian berlaku disebabkan kecuaian. Difahamkan anggota tersebut telah berkhidmat selama 13 tahun dengan syarikat terbabit dan datang ke premis berkenaan bagi urusan gaji pekerja.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan anggota berusia 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI