fbpx

Pelajar dakwa cuba diculik, lelaki umpan gula-gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa menunjukkan lokasi dia cuba diculik di Taman Sejati Indah, Sungai Petani pada pagi semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki tahun enam mendakwa hampir diculik seorang lelaki yang mengumpannya dengan gula-gula dalam kejadian di Taman Sejati Indah, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu berlaku ketika pelajar berusia 12 tahun terbabit sedang berbasikal seorang diri ke sekolahnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.

Dakwanya, semasa dia melalui laluan pintas di hadapan rumah rumah teres dua tingkat tidak jauh dari rumahnya, dia dipanggil seorang lelaki yang duduk di tepi longkang sambil menawarkan gula-gula.

“Saya tidak mahu menerima gula-gula yang diletakkan di tapak tangannya, sebaliknya terus mengayuh basikal dengan laju melalui jalan pintas di belakang sebuah tadika berdekatan untuk pulang ke rumah.

“Lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh dan pelitup muka itu kemudian dilihat mengikut saya sehingga ke depan rumah sebelum dia berlalu pergi sebaik saya menggoncang pintu pagar dan memanggil ibu,” dakwanya semasa ditemui di sini hari ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia juga tidak sempat melihat nombor pendaftaran motosikal suspek kerana berada dalam ketakutan.

Katanya, berdasarkan percakapan, dia dapat mengagak suspek bukan penduduk tempatan.

Sementara itu, ibu pelajar terbabit berusia 39 tahun berkata, dia terkejut apabila mendengar pintu pagar rumahnya digoncang dengan kuat ketika bersiap untuk menghantar seorang lagi anaknya ke sebuah sekolah pendidikan khas di Taman Intan.

“Lebih mengejutkan apabila anak sulung saya itu kembali ke rumah dengan wajah pucat beberapa minit selepas keluar untuk ke sekolahnya.

“Sebaik memasuki rumah dia memaklumkan ada orang cuba menculiknya termasuk mengikutinya sehingga sampai di depan rumah sebelum saya bergegas keluar untuk melihat, namun kelibat lelaki bermotosikal itu tidak lagi kelihatan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI