PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan sekitar 150,000 pengunjung akan memeriahkan acara tahunan perdananya iaitu Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Bertam, Pulau Pinang bermula 30 September hingga 8 Oktober ini.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran melibatkan kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri.
Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta dengan hadiah utama termasuk rumah teres di Setia Fontaines, Pulau Pinang; BYD Atto 3 Standard Range dan Toyota Vios 1.5G AT.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, MSAM diteruskan sebagai agenda tahunan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2000 dengan tema kali ini ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’.
Tambahnya, selaras dengan aspirasi PNB untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, MSAM 2023 akan dianjurkan secara hibrid buat pertama kalinya.
“Pengunjung boleh melawat gerai pameran di Bertam dan juga menikmati kandungan digital secara langsung melalui halaman Facebook dan YouTube MingguSahamAmanahMalaysia.
“Elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan diterapkan dalam gerai pameran, aktiviti serta kandungan dan matlamat kami adalah bagi memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar ilmu pengetahuan dan pendidikan yang lebih tinggi.
“Kami berharap para pengunjung dan penonton akan mendapat inspirasi serta dipenuhi dengan pengetahuan dan pembelajaran baharu apabila meninggalkan acara ini,” katanya dalam kenyataan sempena pengumuman rakan korporat PNB untuk MSAM 2023 hari ini.
Antara rakan korporat MSAM 2023 ialah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Holdings Berhad, S P Setia Berhad selaku Rakan Premier.
Selain itu, Rakan Utama MSAM 2023 ialah Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Perodua, MNRB Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, manakala Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. dalam kategori Rakan. – KOSMO! ONLINE