KOTA BHARU – Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi penggal ke-15 berkuatkuasa hari ini.
Mohd. Amar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor mengangkat sumpah pada Majlis Mengangkat Sumpah ADUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
“Saya, Mohd. Amar yang dilantik sebagai Speaker atas sifat saya dalam jawatan demikian. Saya bersumpah dengan setianya akan menunaikan kewajipan dengan sedaya upaya.
“Saya akan setiawan, bertaat setia dengan negeri Kelantan akan menjaga dan mempertahankan negeri kelantan. Saya juga akan setiawan dan bertaat setia dengan Sultan Kelantan dan waris-waris gantinya menurut undang-undang,” katanya semasa mengangkat sumpah jawatan Speaker DUN Kelantan hari ini.
Sementara itu, ADUN Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Timbalan Speaker.
Pada penggal lalu, ADUN Pasir Pekan yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan. – KOSMO! ONLINE.