PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan perbincangan kawal selia dengan penyedia platform Meta dan Google dalam menangani cabaran media dalam talian.
SKMM dalam kenyataan berkata, perbincaangan yang berlangsung semalam itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din turut dihadiri Anggota Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez dan Polis Diraja Malaysia.
Sementara itu, TikTok juga telah dijadualkan untuk bertemu dengan MCMC melibatkan perkara sama.
MCMC berkata, cabaran yang dihadapi termasuk penyebaran kandungan memudaratkan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menyentuh agama, raja dan kaum (3R), penipuan dan pancingan data, penjualan serta promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, serta penyebaran maklumat dan berita palsu.
“Malaysia juga mempertimbangkan untuk mengguna pakai rangka kerja kawal selia yang serupa sebagaimana yang dilaksanakan di Australia dan Kanada.
“KKD dan MCMC juga telah berbincang dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia,” katanya kenyataan itu di sini, hari ini.
Ujarnya, susulan kelulusan ‘Mandatory News Media Bargaining Code’ yang pertama di dunia, Google dan Meta telah membuat perjanjian pampasan sukarela dengan saluran-saluran berita, sebagai contoh berhubung kepentingan pampasan yang adil.
Begitu juga dengan Rang Undang-undang C-11 Kanada yang bertujuan mengawal selia platform penstriman dan yang menggalakkan sokongan terhadap kandungan berkaitan Kanada.
“Mencontohi kedua-dua negara iaitu Australia dan Kanada, penglibatan KKD dan MCMC dengan platform dalam talian menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani cabaran pasaran digital.
“Antara cabaran yang dihadapi adalah ketidakseimbangan dalam Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) antara platform digital dan media tempatan bagi memastikan pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita,” katanya.
Tambahnya, selain itu, usaha ini melangkaui pembayaran kepada pencipta berita semata-mata, kerana ia juga merupakan titik permulaan bagi revolusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, KKD dan MCMC mengakui kepentingan teknologi ini dan menyasarkan dapat melaksanakan peraturan serta amalan yang adil dan bijak termasuk perancangan untuk menggalakkan persaingan yang adil, mengukuhkan hak harta intelek, melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian serta menjaga privasi pengguna. – KOSMO! ONLINE