PETALING JAYA – Syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka, Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat infrastruktur yang berpangkalan di Filipina, Metro Pacifil Investments Corp (MPIC) sebagai usaha untuk menerokai pasaran kejuruteraan dan penyelenggaraan rel Filipina.
Sebagai permulaan, Hartasuma dan MPIC ingin mengambil bahagian dalam projek-projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, usaha sama ini bertujuan untuk menyediakan rangka kerja bersama MPIC dan Hartasuma.
Menurut beliau, kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama untuk mengenal pasti potensi pembangunan bersama dan projek usaha sama di bawah tiga kategori iaitu reka bentuk, kejuruteraan, pemasangan, pengubahsuaian, pemodenan, perkhidmatan baik pulih dan pemulihan serta pengurusan projek lengkap yang berkaitan dengan gerabak dan subsistem kereta api lain yang berkaitan.
Ia turut melibatkan sistem dan perkhidmatan kereta kabel untuk pengangkutan bandar dan luar bandar selain membina fasiliti untuk menjalankan projek yang berkaitan dengan gerabak, sub-sistem kereta api lain yang berkaitan dan sistem kereta kabel di negara Filipina.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan pengusaha infrastruktur yang bereputasi tinggi dan terkemuka dalam MPIC.
“Kami ingin menambah nilai kepada kerjasama melalui kepakaran kami dan membantu MPIC dalam mencapai matlamatnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Tersenarai di Bursa Saham Filipina, MPIC mempunyai portfolio pelaburan yang luas di seluruh Filipina dan Asia Tenggara. Ia termasuk syarikat yang terlibat dalam penjanaan tenaga, lebuhraya tol, bekalan air, penjagaan kesihatan, pertanian, hartanah dan rel.
Perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani antara Ravindran Menon dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MPIC, Manuel V. Pangilinan.
Selain itu, Pangilinan menerangkan, melalui kerjasama tersebut, pihaknya berharap dapat membina atas pengalaman hampir tiga dekad Hartasuma dalam industri kejuruteraan kereta api dan pengangkutan, dan akhirnya menerapkan pelajaran ini dalam operasi kami di Filipina.
“Banyak yang boleh kita kongsikan. Bersama-sama, kami berhasrat untuk meneroka inovasi yang boleh membantu kami membina infrastruktur pengangkutan masa depan,” ujarnya.
Kerjasama strategik ini bakal membuka jalan untuk pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan projek pengubahsuaian gerabak di Filipina dan penyelidikan mengenai sistem kereta kabel untuk pelancongan dan pengangkutan bandar.
Usaha niaga ini tidak hanya akan mengubah landskap pengangkutan negara ini tetapi juga akan mewujudkan industri yang berkembang pesat yang mana ia bakal menyokong kemajuan ekonomi dengan memperkembangkan kemahiran, mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Filipina.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan dan rantaian bekalan. -KOSMO!ONLINE