fbpx

Filem boleh bangkit semangat patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Beberapa hari sebelum sam­butan ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-60 pada 16 September ini, filem Malbat: Misi ­Bakara ditayangkan di sinema-sinema negara ini sejak 24 Ogos lalu.

Filem aksi perang yang di­ilhamkan daripada kisah benar askar-askar Rejimen 19 Askar Melayu Diraja (RAMD) bertempur dengan para militia Somalia di Pasar Bakara, Mogadishu pada 1993 telah mengutip kutipan tiket lebih RM13 juta dalam tempoh enam hari tayangan.

Mereka bertempur bagi menyelamatkan askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang mana beberapa orang daripadanya terkorban termasuk seorang pemandu kenderaan perisai pengangkut infantri (APC) milik tentera Malaysia.

Ia juga dihasilkan selepas filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott yang ditayangkan pada 2001 dan mendapat kutipan tiket lebih AS$171 juta (RM794.28 juta) yang menunjukkan kehebatan tentera AS di Mogadishu tetapi tidak memaparkan tentang keberanian askar-askar RAMD.

Filem Paskal yang juga dihasilkan berdasarkan kisah benar pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal) merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Ia yang ditayangkan kepada penonton pada 2018 mendapat kutipan tiket RM30 juta.

Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Jamaluddin Aziz berkata, adalah benar jika dikatakan filem boleh membangkitkan semangat patriotik dan jati diri serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun katanya, selama mana pe­rasaan patriotik dan cintakan negara terus kekal selepas menonton filem adalah satu persoalan yang masih tiada jawapan.

“Pada pendapat saya, hal ini kerana filem bergenre patriotik masih lagi gagal mengolah cerita yang menarik dan relevan kepada setiap anggota masyarakat.

“Pada masa ini, kita hanya mengingati momen tertentu filem dan bukan mesej keseluruhannya. Malah, kita lebih mengingati filem arahan Seniman P. Ramlee daripada hasil seninya.

“Tambahan pula, pengertian patriotik yang digunakan masih lagi sempit dan tidak mengambil kira pengalaman yang berbeza setiap bangsa, jantina, agama dan generasi di Malaysia,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaaan memberikan lebih banyak dana kepada karyawan-karyawan negara ini dalam mengeluarkan drama-drama televisyen bergenre patriotik.

Katanya, ia bertujuan untuk membolehkan mereka mencuba beberapa teknik dan ‘resipi’ penceritaan sebelum ‘melabur’ dalam industri perfileman.

“Saya yakin pelabur akan melabur jika ceritanya menarik, tidak etno-sentrik dan relevan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, bekas wartawan dan kini menjadi bicarawara, Syahril A. Kadir berkata, banyak cerita-cerita menarik tentang polis di negara ini yang membanteras jenayah boleh difilemkan.

Namun, katanya, kos untuk menghasilkan filem-filem kepolisian berdasarkan kisah benar itu melibatkan kos yang besar.

Menurutnya, kebanyakan penggambaran filem seperti Paskal dan Malbatt dilakukan di luar negara, tetapi terdapat beberapa kekangan dalam menghasilkan kisah benar tentang kejayaan polis membanteras jenayah seperti terdapat kaum keluarga yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat itu masih hidup.

“Mungkin sensitiviti itu akan menjadi masalah dan mungkin penerbit juga tidak mahu risiko kena saman,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI