DENGAN Piala Asia 2023 hanya berbaki kira-kira lima bulan saja lagi, penyerang negara, Darren Lok seakan dihimpit situasi berbelah bahagi untuk melunaskan cita-citanya dan kekal relevan dalam skuad kebangsaan.
Selain mahu menjadikan jenama Harimau Malaya sebagai fenomena di mata peminat, Darren juga mengakui risau jika terus dipalit masalah kecederaan hingga menjejaskan peluangnya ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar.
“Saya fikir ia (sambutan peminat terhadap pasukan) perkara yang bagus dan tiada perasaan yang lebih baik berbanding mewakili Malaysia. Sudah pasti aksi persahabatan ini penting untuk menyiapkan pasukan untuk menjadi lebih baik.
“Jadual agak padat kerana Sabah bermain pada Piala AFC dan ada kalanya kecederaan menyebabkan saya terlepas perlawanan. Namun, apabila saya semakin dewasa, saya mula belajar untuk bermain lebih santai dan tidak terlalu gelojoh.
“Paling penting adalah kekal bebas daripada kecederaan kerana tiada siapa yang mahu terlepas aksi Piala Asia,” kata pemain yang bakal menyambut ulang tahun ke-32 pada 18 September ini.
Esok, skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon akan menentang Syria pada aksi persahabatan antarabangsa diikuti perlawanan kedua dengan China Sabtu ini.
Dalam pada itu, Darren menegaskan, rekod kelayakan Piala Asia sebelum ini sudah membuktikan kualiti yang ada pada skuad Harimau Malaya dan situasi pasukan semakin bertambah baik, malah mampu bersaing dengan skuad yang lebih tinggi rankingnya.
“Para penyokong harus percaya dengan skuad negara sekarang bahkan saya sendiri fikir Malaysia telah kembali ke tahap lebih baik serta mampu berlawan dengan negara seperti ini (ranking lebih tinggi).
“Pastinya semua orang akan berasa teruja, begitu juga dengan kami yang mahu berikan aksi sehabis baik,” kata Darren.