SELEPAS 23 tahun Kaho Naa… Pyaar Hai ditayangkan, heroin filem berkenaan, Ameesha Patel mendedahkan Kareena Kapoor yang asalnya dipilih memegang watak utama sebenarnya digugurkan produksi, bukan menarik diri seperti diakui aktres itu sebelum ini.
Sebagai pengganti Kareena, Ameesha berasakan dia perlu bersuara menjelaskan hal sebenar.
Menurut Ameesha, Rakesh Roshan selaku pengarah juga bapa kepada hero dalam filem berkenaan, Hrithik sendiri yang berjumpa dengannya menawarkan watak heroin kepadanya.
“Rakesh mengakui terserempak dengan saya di sebuah acara dan terus nampak saya sebagai Sonia yang dicari-cari. Selebihnya adalah sejarah,” katanya mengenang kisah lampau.
Difahamkan, Kareena menarik diri kerana ibunya yang bertindak sebagai pengurus tidak menyukai karakter diberikan, sedangkan hakikatnya dia sukar memenuhi kehendak pengarah.
Filem tersebut meraih sambutan luar biasa sehingga mendapat pengiktirafan Guinness World Records 2002 sebagai filem paling banyak mendapat penghargaan dengan 92 trofi dari dalam dan luar negara.