JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) dapat menampung permintaan pasaran terhadap beras tempatan dalam pasaran seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya telah mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meminta pengilang meningkatkan 20 peratus kuota pengeluaran mereka sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek.
Katanya, KPKM akan turut mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam industri padi dan beras negara, Khamis ini.
“Dalam sesi berkenaan, kaedah dan mekanisme berkaitan usaha pemulihan akan dibincang meliputi penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau stok beras tempatan di sebuah pasar raya di Tampoi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementeriannya maklum dengan kegiatan sindiket yang menukar bungkusan beras tempatan kepada bungkusan beras import sebagai jalan mendapatkan keuntungan mudah.
“Perkara ini sedang ditangani. Pihak kawal selia padi beras negara akan bertindak dan sentiasa mengawasi. Kita maklum akan perkara itu, InshaAllah sekarang dalam kawalan.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut kepada akta sedia ada,” ujarnya.
Mohamad turut menafikan dakwaan bahawa ‘orang tengah’ mempunyai kawalan terhadap 95 peratus pengeluaran beras tempatan negara.- KOSMO! ONLINE