ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid selamat berangkat pulang ke negeri ini pada petang semalam.
Istana Arau dalam satu kenyataan berkata, baginda berdua bersemayam di Kuala Lumpur sejak 27 Mac lalu bagi membolehkan Raja Perlis menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan yang selamat dilaksanakan di Hospital Putrajaya pada 1 April lepas.
Seterusnya baginda meneruskan proses pemulihan dan pemeriksaan susulan di Istana Perlis di Kuala Lumpur.
Tuanku Tengku Fauziah dalam titahnya menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana rawatan pembedahan yang dijalani Tuanku Syed Sirajuddin berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
“Walaupun kadangkala terdetik rasa resah dan gelisah di hati sepanjang proses rawatan, beta berasa amat tenang dan sukacita dengan adanya sokongan daripada ahli keluarga dan rakan taulan yang saya kasihi.
“Sesungguhnya hanya Tuhan sajalah yang dapat membalas setiap titipan doa yang diucapkan,” titah baginda.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat yang dikasihi kerana tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan kesihatan Tuanku Raja Perlis sepanjang menjalani rawatan kali ini.
Tuanku Raja Perempuan turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Menteri Besar, Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk seluruh warganya.
Ucapan sama turut dizahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan segala urusan Tuanku Raja Perlis sepanjang bersemayam di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE