fbpx

Tiada bekalan minyak masak peket di Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIZAT Majid (kiri) menunjukkan tempat minyak masak peket yang kosong di kedainya di Felda Tekam Utara di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Pengguna di kawasan Felda Tekam Utara, Felda Gugusan Gelanggi dan Felda Gugusan Lepar di sini mengalami masalah bekalan minyak masak peket yang terputus sejak dua minggu lalu.

Ketiadaan minyak masak peket di semua kedai runcit di tanah rancangan Felda tersebut menyebabkan penduduk sukar memperoleh keperluan dapur itu sehingga ada yang terpaksa ke pasar raya di Jerantut yang agak jauh.

Perjalanan sehala ke bandar Jerantut dari Felda Lepar adalah kira-kira 150 kilometer dan dari Felda Kota Gelanggi ialah 55 kilometer manakala dari Felda Tekam sejauh 50 kilometer.

Peniaga kedai runcit Felda Tekam Utara, Aizat Majid, 32, berkata, senario itu berlaku sejak dua minggu lalu berikutan tiada bekalan daripada pemborong luar.

“Selalunya saya memperoleh 10 kotak minyak peket yang mengandungi 170 peket dan dijual dalam tempoh tiga hari dengan harga RM2.50 satu peket.

“Namun minyak peket sudah habis di kedai saya sejak dua minggu lalu dan sehingga kini masih belum menerima bekalan berkenaan daripada pemborong,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, penduduk Felda Tekam Utara, Anuar Rahman, 61, berkata, kekurangan bekalan minyak peket dipercayai berlaku kerana permintaan yang tinggi pada musim cuti sekolah untuk majlis kenduri dan sambutan tertentu dalam kalangan keluarga.

“Hari ini saya datang ke kedai Aizat untuk membeli minyak masak peket, tetapi diberitahu tiada bekalan sejak dua minggu lalu. Saya hampa kerana isteri menunggu untuk memasak.

“Saya dimaklumkan oleh jiran, bekalan minyak peket juga berkurangan di pasar raya bandar Jerantut dan menyusahkan penduduk untuk menyediakan makanan di rumah dan sebagainya,”katanya.

Sementara itu peniaga pisang goreng di Felda Lepar, Fahmi Abdul Samad, 45, berkata, dia terpaksa memberhentikan jualan pisang goreng sejak Isnin lalu berikutan ketiadaan minyak masak peket. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI