PUTRAJAYA – Segelintir generasi muda yang berusia bawah 35 tahun dilaporkan membuat pinjaman peribadi sama ada melalui bank ataupun Pemberi Pinjam Wang (PPW) bagi memenuhi kehendak peribadi mereka termasuk membeli peranti elektronik canggih yang bernilai ribuan ringgit.
Berdasarkan pemerhatian, rata-rata golongan itu sering membuat pinjaman sekitar RM3,000 hingga RM5,000 bagi memenuhi kehendak gaya hidup mereka seperti membeli telefon bimbit generasi terbaharu ataupun pakaian yang mereka inginkan.
Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Muhammad Nor Azam Samah, pinjaman dibuat golongan itu merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang diberikan PPW kepada peminjam.
“Secara kebiasaan, generasi muda bawah usia 35 tahun membuat pinjaman bagi memenuhi kehendak peribadi, manakala mereka yang berusia 35 tahun ke atas pula membaut pinjaman untuk menyelesaikan masalah kehidupan seperti kos baiki rumah, bayar hutang tertunggak selain meneruskan perniagaan.
“Selain itu, antara sebab-sebab lain menyebabkan peminjam membuat pinjaman dengan PPW juga ialah kerana berdepan masalah kesempitan hidup, situasi mendesak, kenaikan kos sara hidup selain disenarai hitam oleh pihak bank,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Nor Azam berkata, PPW turut merekodkan jumlah peminjam sebanyak 400,611 orang pada 2018 sebelum meningkat kepada 415,413 peminjam pada 2019.
Katanya, jumlah peminjam direkodkan pada 2020 pula ialah sebanyak 313,229, manakala 277,160 (2021) dan 351,346 (2022).
“Dalam pada itu, seramai 188,143 orang peminjam dilaporkan membuat pinjaman sekitar RM1,001 hingga RM5,000, manakala bagi jumlah bermula RM5,001 hingga RM10,000, ia dipinjam oleh 62,986 peminjam ketika ini,” katanya.
Senada dengan Muhammad Nor Azam ialah Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia, Mahinder Gill yang turut menyifatkan pinjaman peribadi dibuat individu berusia bawah 35 tahun lebih ke arah memenuhi kehendak peribadi.
Jelasnya, tabiat kehidupan mereka yang sering terpengaruh dengan gaya hidup mewah seperti makan di restoran mahal serta pembelian gajet terkini mendorong golongan itu membuat pinjaman peribadi.
“Sebenarnya, antara kaedah terbaik mengawal tabiat itu ialah ibu bapa perlu menerapkan pengetahuan tentang bijak berbelanja sejak kecil lagi seperti menggalakkan mereka menyimpan sekurangnya 20 peratus daripada wang diperoleh termasuk gaji.
“Jika tabiat itu dapat diamalkan generasi muda, pastinya isu-isu seperti boros berbelanja sehingga terpaksa membuat pinjaman peribadi dapat diatasi sebaiknya,” jelasnya.
Bagaimanapun, bagi mereka yang terdesak untuk membuat pinjaman khususnya ketika berdepan kesukaran hidup, Mahinder menasihatkan untuk melakukannya di bank atau PPW berbanding berurusan dengan Ah Long.
“Biasanya orag terdesak memerlukan wang segera dan mungkin proses pinjaman mengambil sedikit masa, jadi saya sarankan mereka untuk meminjam dengan PPW.
“Mereka boleh melayari aplikasi ikredikom KPKT dan melihat senarai PPW yang ada berdekatan. PPW atau lebih dikenali sebagai Kredit Komuniti (KK) ini berlesen dan lebih selamat,” jelasnya.
Jelasnya, meskipun disenaraikan bawah KPKT, peminjam juga perlu tahu hak-hak mereka sebelum membuat pinjaman dengan PPW seperti tidak menandatangani borang kosong selain mengetahui butiran perjanjian bagi mengelakkan penipuan. – KOSMO! ONLINE