JAKARTA, Indonesia – Seorang lelaki berusia 23 tahun di Bali ditahan polis selepas didapati mencuri sejumlah 240 topi keledar di sekitar pulau peranginan tersebut, lapor portal berita Coconuts kelmarin.
Suspek bernama Muhamad Rizki mengaku melakukan kegiatan itu ketika ditahan.
Ketua Polis Singaraja, Nyoman Pawana Jaya Negara berkata, suspek mencuri topi keledar di pelbagai lokasi utama termasuk Universiti Pendidikan Ganesha (Undiksha), Arena Sukan Bhuana Patra dan Pantai Penimbangan.
“Kecurian topi keledar paling banyak dilakukan suspek di Undiksha dengan 100 topi keledar dilarikan, diikuti Arena Sukan Bhuana Patra dan Pantai Penimbangan dengan setiap satu sebanyak 70 topi keledar,” katanya.
Perbuatan suspek terbongkar apabila kegiatannya disaksikan oleh pengawal keselamatan Undiksha pada 10 Ogos lalu sebelum aduan polis dibuat.
Dia dikatakan menyasarkan topi keledar berharga mahal yang ditinggalkan di tempat duduk motosikal dan menjualnya secara online. – AGENSI