PETALING JAYA – “Jangan risau, semuanya terkawal.”
Itu respons penyanyi dan pelakon Ayda Jebat selepas video memaparkan dia yang kini sarat hamil lima bulan ligat menari di sebuah festival makanan di Bukit Jalil baru-baru ini.
Menurut Ayda atau nama penuhnya, Nur Suhada Jebat, 31, sebagai wanita yang sedang hamil, dia menyedari semua risiko dan tidak akan sesekali melakukan sebarang aksi yang boleh membahayakan kandungannya.
“Semuanya okey dan berada dalam keadaan terkawal dan tidak tergamak hendak buat sesuatu yang boleh membahayakan nyawa diri serta kandungan.
“Namun, disebabkan lagu itu berentak rancak ditambah pula dengan respons penonton yang ‘sporting’, saya pun terus menari bersama sehingga terlupa suami sentiasa menegur dan mengingatkan saya agar sentiasa berhati-hati,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Dalam masa sama, dia yang popular menerusi lagu Pencuri Hati itu terharu kerana ramai melahirkan rasa risau terhadap dirinya selepas video tersebut tular dalam media sosial sejak semalam.
“Saya tak sangka begitu ramai yang ambil berat dan risau keadaan diri saya. Insya-Allah selepas ini akan lebih berhati-hati.
“Apabila membaca komen saya terus rasa bersalah dan memikirkan semula bahawa tidak sepatutnya beraksi selincah itu.
“Alhamdulillah saya dan bayi semuanya baik-baik saja. Terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kebaikan saya dan anak dalam kandungan,” ujarnya.
Sejak semalam, video tular Ayda menari meraih pelbagai respons daripada orang ramai yang rata-ratanya melahirkan kebimbangan memandangkan sedang hamil anak kedua.
“Risaunya melihat ibu hamil menari sangat lincah, jangan terberanak atas pentas pula.
“Bertenaga betul dia tetapi ketika inilah kena aktif supaya mudah bersalin nanti,” komen segelintir netizen.
Terdahulu pada 25 Julai lalu, Ayda dan suaminya, Nabil Mahir mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua.
Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak pertama, Ana Nayla, 2, pada 21 September tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE