fbpx

Mahkamah: Pendakwa mahu SPRM siasat dakwaan Zahid jadi mangsa ‘terpilih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan berpendapat, amat penting bagi pihaknya serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti dan menyiasat dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih oleh rejim kerajaan terdahulu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, hari ini selepas pendakwaan terpilih dibangkitkan secara serius oleh Presiden UMNO itu di dalam surat representasi beliau bagi mengkaji kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Mohd. Dusuki berkata, ia selaras dengan tujuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diumumkan kabinet yang antara lainnya, bertujuan menyiasat dakwaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang jawatan tertinggi dalam negara.

“Kami percaya bahawa mahkamah yang mulia ini mengambil maklum pengumuman Jemaah Menteri bagi penubuhan RCI bagi menyiasat isu dibangkitkan dalam buku ‘My Story: Justice in The Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan dibuat beliau berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap individu tertentu.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini institusi undang-undang yang diperalatkan oleh pihak tertentu,” kata Mohd. Dusuki.

Justeru untuk tidak menafikan hak tertuduh dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, pihak pendakwaan percaya pertuduhan terhadap tertuduh di sini perlu diberhentikan buat masa ini, dan dilelas tanpa dibebaskan sehingga siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Mohd. Dusuki berkata, selain itu surat representasi Ahmad Zahid antara lain turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadapnya sebelum, semasa dan selepas dituduh di mahkamah yang dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap.

Dalam pada itu, siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja menjadi asas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 tuduhan itu.

Terdahulu, di awal prosiding hari ini, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memohon Timbalan Perdana Menteri itu, dibebaskan sepenuhnya selepas mahkamah dimaklumkan bahawa pendakwaan ingin memberhentikan prosiding kes berkenaan, yang memberi kesan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI