KUALA LUMPUR – Selepas dibicarakan selama 77 hari, Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.
Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.
Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Presiden UMNO itu dilepas dan dibebaskan atas kesemua pertuduhan.
Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2018, manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.
Pada April lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan itu.
Representasi melebihi 200 muka surat yang dihantar terus kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun yang mana representasi tersebut mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri digugurkan.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar lebih 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.
Dokumen-dokumen yang mengandungi beberapa peringkat itu pertama kali dihantar kepada Peguam Negara pada Januari lalu dan selanjutnya pada akhir Februari lalu.
Pada masa sama, representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan.
Pada 16 Januari lalu, Ahmad Zahid muncul kali pertama di mahkamah selepas dilantik Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE