fbpx

Kerajaan batal sebahagian larangan pengambilan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap semasa merasmikan Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia untuk menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing untuk subsektor tekstil, tukang emas dan kedai gunting rambut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun pembekuan pengambilan pekerja yang dilaksanakan sejak 2009 tidak akan ditarik secara keseluruhan.

“Memandangkan terdapat keperluan mendesak pekerja dalam subsektor ini, kami akan meluluskan (pengambilan), tetapi tidak secara keseluruhannya.

“Saya tidak mahu bagi penuh kerana saya rasa perlu cari jalan melalui Program latihan teknikal dan vokasional (TVET), modal Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan sebagainya beri anak-anak latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada lawatan kerja Program Lestari Niaga @ Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambathan, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada hari Jumaat ketika mengadakan mesyuarat Kabinet nanti.

Katanya, pelbagai usaha telah diambil untuk membolehkan peniaga sektor itu mendapat pekerja dalam kalangan warga tempatan, bagaimanapun terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan mereka berdepan kesukaran mendapatkan tenaga tempatan.

“Maka permintaan untuk ketiga-tiga sektor ini berterusan bertahun-tahun dan banyak kali peniaga yang terlibat dalam sektor ini telah datang berjumpa dengan saya supaya ianya tidak dibekukan.

“Satu daripada sektor yang dibekukan sebelum ini iaitu restoran, telah dibuka sewaktu kita laksanakan syarat kelonggaran tiga hari pada awal tahun ini. Maka untuk sektor restoran, masalah itu kita telah selesaikan,” jelasnya.

Jelasnya, susulan pengumuman itu, pihaknya akan akan melihat apa kaedah terbaik untuk memastikan bahawa peniaga tempatan tidak teranaiya daripada kemasukan pekerja asing.

“Setelah berbincang dengan pemain taruh daripada tiga sektor ini, saya melihat permintaan mereka tidak banyak. Sektor tekstil, permintaan yang kita kira lebih kurang 6,000, tukang emas pula 3,000 dan kedai gunting rambut dalam lingkungan 6,000.

“Jika diambil keseluruhan jumlah, dalam lingkungan 15,000 ke 20,000 dan dengan adanya jumlah itu, kita boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI