ALOR SETAR – UMNO Kedah menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah pada hari ini sebagai berita baik buat parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya juga percaya kemenangan tersebut sangat membantu ahli parti untuk membina semula semangat dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, sekali gus membuktikan kebenaran akhirnya tertegak memihak kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kontroversi kebocoran memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menjelaskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid tidak wajar diteruskan ekoran kekurangan bukti adalah cukup bagi menjelaskan pertuduhan bermotif politik itu perlu dihentikan segera.
“UMNO Kedah yakin bahawa sistem penghakiman bukanlah hanya tentang siapa yang betul mahupun siapa yang salah, malah proses tersebut perlu dilihat adil kepada semua pihak termasuk memelihara kredibiliti AGC.
“Oleh itu, keputusan pihak pendakwa raya untuk melepaskan tanpa membebaskan kesemua 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah tepat bagi mengelakkan kegusaran berlakunya ‘miscarriage of justice’ dalam khalayak umum di negara ini,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE