JEMPOL – Sebuah kedai alat ganti kenderaan di Taman Sornam, Bahau, terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Farid Mohd Desa berkata, pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kira-kira pukul 12.12 tengah malam.
Menurutnya, sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah kedai berkeluasan kira-kira 11 meter persegi.
“Kemusnahan tingkat satu dianggarkan sebanyak 70 peratus, manakala, tingkat 2 pula dianggarkan musnah sekitar 50 peratus.
“Dalam kejadian ini, kita turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bandar Seri Jempol, BBP Kuala Pilah dan Seremban bagi memadamkan kebakaran,” katanya, hari ini.
Jelas Mohd Farid lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE