MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mencari ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang, di sini, bulan lalu.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Siti Aishah Mohd. Noor berkata, bayi yang dipercayai baru lahir dan masih bertali pusat itu diselamatkan di bawah peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001.
“Bayi itu diperintahkan supaya diletakkan pada orang yang layak dan sesuai, justeru JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar.
“JKM sedang mencari waris bayi itu untuk tindakan lanjut. Kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung bayi boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Melaka Tengah di talian 06-3333333,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kosmo! Online pada 25 Ogos lalu melaporkan seorang bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, bayi tersebut yang dibalut dengan menggunakan tuala diletakkan di dalam beg plastik berwarna putih.
Kejadian itu disedari oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang terdengar suara mencurigakan dari tong sampah berkenaan.
Remaja terbabit kemudian memaklumkan kepada bapanya sebelum memeriksa tong sampah dan menjumpai bayi berkenaan. – KOSMO! ONLINE