fbpx

Hayatun pakar ‘godek’ enjin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAYATUN mencabar diri dengan memilih melanjutkan pelajaran dalam automobil.

AKSI dan lagak tangkasnya yang bersahaja ketika bertanding dalam WorldSkills Malaysia Belia 2022 membuatkan ramai terpegun.

Manakan tidak, hanya dalam tiga jam, dia mampu membuka, menyelesaikan masalah, memasang kembali dan menghidupkan enjin kereta yang telah ‘overhaul’ dengan sempurna.

Ketangkasan, ketelitian dan kesempurnaan gerak kerja melayakkan anak jati Kuala Lumpur itu dinobatkan sebagai penerima pingat emas WorldSkills Malaysia Belia 2022.

Menurut Hayatun Nufus Roshisam, dia memilih automobil kerana percaya bidang tersebut juga boleh diceburi wanita, selain ingin mencabar diri.

“Sejak kecil, saya seorang yang lasak dan suka melakukan perkara baharu yang mencabar diri.

“Saya juga sedar dengan mengambil bidang berkaitan kemahiran, peluang kerja lebih luas. Jadi, saya nekad memilih bidang ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, gadis berusia 20 tahun itu memulakan langkah dengan mengambil sijil teknologi automobil dan meneruskan pengajian dalam bidang sama di peringkat diploma.

Menyorot kembali saat kemasukan Hayatun ke Kolej Vokasional Kajang, Selangor, dia tidak menafikan ada segelintir pihak yang memandang rendah terhadapnya.

“Mereka beranggapan siapa yang masuk kolej vokasional ini lemah dari segi akademik dan susah cari kerja.

“Tetapi sebenarnya di kolej vokasional ini juga mempunyai peperiksaan yang setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bukan itu saja, mana-mana syarikat berkaitan mekanikal juga lebih gemar dan mudah menerima pekerja yang mempunyai kemahiran asas atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya.

HAYATUN aktif menyertai pelbagai pertandingan automobil.

Bercerita mengenai cabaran, dia tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai rintangan terutama dalam bidang teknologi automobil yang sinonim dengan pelajar lelaki.

“Saya minat perkara mencabar. Jadi, apabila mengambil bidang ini saya nekad untuk buat yang terbaik.

“Alhamdulillah, apabila rakan-rakan lelaki melihat kesungguhan saya, mereka tidak pernah memandang rendah, malah banyak membantu,” katanya.

Tambahnya, kata-kata azimat dan perangsang daripada kedua-dua ibu bapanya sentiasa diingati, sekali gus membuatkan dia nekad untuk terus berjaya.

Diaju soalan mengenai kejayaan pada WorldSkills Malaysia Belia 2022, Hayatun berkata, sikap suka mencuba perkara baharu telah mendorongnya menyertai pelbagai pertandingan.

Katanya, bermula dengan peringkat kolej vokasional, kemudian pertandingan di luar kolej, peringkat kebangsaan dan terbaharu ke peringkat ASEAN di Singapura.

Katanya, menerusi pertandingan, dia dapat menguji kemampuan diri dan berpeluang menimba pelbagai ilmu baharu.

“Biasanya sebelum pertandingan, saya melakukan banyak kajian dan berlatih.

“Ini secara tidak langsung membolehkan saya belajar banyak perkara baharu.

“Ketika sesi pertandingan pula, kita boleh kesan di mana kelemahan diri yang boleh diperbaiki.

“Di samping itu, kita dapat berjumpa rakan baharu daripada institusi lain,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang jurutera.

Kongsinya, sepanjang melanjutkan pengajian dan menyertai pertandingan, dia berpeluang mempelajari pelbagai jenis enjin mengikut model kereta.

“Antara enjin kereta yang sudah saya ‘godek’ adalah daripada jenama Toyota, Subaru dan Hyundai.

“Bukan itu saja, saya juga berlatih untuk bahagian ‘gearbox’, suspensi, brek, ‘body electrical’, ‘engine management system’ dan ‘overhaul’ enjin,” ujarnya.

Menutup bicara, Hayatun menyarankan kepada pelajar dan belia supaya memilih untuk berkecimpung dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, TVET mampu melahirkan pekerja mahir yang memenuhi permintaan industri, sekali gus menawarkan peluang kerja sangat luas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI