MANCHESTER – Pemilik kelab Manchester United, Keluarga Glazer dilaporkan mengeluarkan kelab itu dari status ‘untuk dijual’ selepas mendakwa tidak ada pihak yang berjaya mengemukakan bidaan pada harga yang mereka inginkan.
Menurut laporkan Daily Mail, pemilik kelab itu dipercayai akan cuba kembali ke pasaran untuk menjual pemilikan mereka pada 2025 dan berharap pengukuhan kewangan dan ekonomi dunia akan membantu menarik lebih ramai pembida.
Keluarga Glazer menjangkakan nilai pasaran United akan melambung sehingga £10 bilion (RM58.50 bilion) menjelang tahun tersebut berikut peningkatan keuntungan menerusi hak penyiaran ekoran pengenalan saingan Piala Dunia Kelab sertai saingan Piala Dunia 2026 .
Perkembangan terbaharu itu pastinya mengecewakan para peminat setiap United yang percaya kelab itu bakal mendapat pemilik baharu dalam tempoh terdekat ini selepas mendesak Keluarga Glazer meninggalkan Old Trafford.
Sebelum ini, bilionair dari Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani bersaing sengit dengan pemilik syarikat petrokimia dari Britain, Sir Jim Ratcliffe untuk mengambil alih kelab itu selepas beberapa bidaan dilakukan mereka.
Bagaimanapun, selepas beberapa pusingan proses penawaran berjalan, tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh Keluarga Glazer mengenai bidaan yang diterima sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar mahu menjual kelab itu atau sebaliknya.
Sebahagian laporan menyebut, Keluarga Glazer membuat pusingan U terhadap keputusan untuk menjual pemilikan penuh United selepas berjaya menyakinkan beberapa pelabur minoriti untuk mengukuhkan struktur kewangan kelab itu. – AGENSI