SKUAD Harimau Malaya dijangka berdepan ‘ujian sebenar’ pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria, Rabu ini sebelum menentang China tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan di adakan di Chengdu nanti.
Pemain pertahanan skuad negara, Matthew Davies mengakui kedua-dua negara itu adalah pasukan paling sukar yang akan ditentang oleh pemain sejak beberapa tahun lepas.
Kata Davies, aksi bertemu Syria dan China juga boleh dianggap sebagai medan untuk menguji keserasian pasukan sebelum mengharungi kejohanan lebih besar pada masa akan datang.
“Kita akan menentang China serta Syria ini dan tidak keterlaluan untuk saya katakan mereka adalah pasukan paling sukar kita temui berdasarkan kedudukan ranking mereka.
“Saya percaya jurulatih (Kim Pan-gon) memiliki pendekatan berbeza untuk mengharungi dua perlawanan itu dan sudah tentu pasukan mahu meraih keputusan positif nanti.
“Apa yang pasti, saya yakin kita tidak akan bertahan semata-mata walaupun bermain di tempat lawan, kita juga mahu bermain dengan falsafah bola sepak yang diterapkan pasukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sementara itu, pemain berusia 28 tahun itu mengakui sudah bersedia untuk mengharungi jadual padat di peringkat kelab dan kebangsaan sehingga awal tahun depan dengan beberapa siri kejohanan penting menanti.
“Saya sudah bersedia untuk harungi jadual sukar kerana kita akan ada Pestabola Merdeka, kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 selepas ini.
“Kemudian, di peringkat kelab pula kami akan fokus aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL). Ini adalah sebab kami sukakan bola sepak dan saya harap dapat beri tumpuan penuh nanti,” kata tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.