fbpx

Sentuhan pakar jahitan kot Kuantan terus ditagih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelsen (kanan) dibantu isterinya, Bee Hone menyiapkan tempahan pelanggan di rumah mereka di Kuantan.

KUANTAN – Hasrat seorang pakar jahitan kot untuk ‘bersara’ selepas menutup kedai jahitnya yang telah beroperasi selama 49 tahun tidak kesampaian apabila dia terus didatangi pelanggan.

Malah, kepakaran yang dimiliki Nelsen Heng, 73, itu menyebabkan pelanggan sanggup datang ke rumahnya untuk mendapatkan khidmat jahitan kot dan baju Melayu.

Nelsen berkata, dia terkejut apabila bukan sahaja pelanggan lama yang datang ke rumahnya, namun terdapat juga pelanggan baharu yang datang.

“Pada mulanya saya memang hendak berehat sebab sudah lama menjahit dan kedai pun sudah tutup, namun tidak sampai seminggu tutup, pelanggan datang rumah saya.

“Saya tak sampai hati tolak permintaan mereka kerana apa yang saya peroleh hari ini adalah kerana sokongan mereka. Tanpa mereka siapalah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sri Kuantan di sini kelmarin.

Sebelum ini, Kosmo! menyiarkan kisah Nelsen yang juga pemilik kedai Jahit Style Tailor di Kuantan yang mempunyai kepakaran membuat kot dan telah menghasilkan lebih 10,000 baju berkenaan.

Berdasarkan pengalaman luas yang ada bapa kepada lima anak itu, dia boleh membuat anggaran saiz dan jenis kot sesuai dengan hanya melihat bentuk badan seseorang.

Bagaimanapun, Nelson telah membuat keputusan untuk me­nutup kedai jahitnya pada 15 Ogos 2022 selepas genap 49 tahun beroperasi.

Menurut Nelsen, pada masa ini, dia hanya membuat kerja jahitan secara santai termasuk memotong kain di rumah dengan dibantu isteri, Tan Bee Hone.

Katanya, dia bagaimanapun tidak dapat menyiapkan tempahan dalam waktu yang singkat dan perlu menyiapkan satu persatu mengikut jadual.

Nelson memberitahu, harga upah yang dikenakan masih sama, namun harga kain adalah berpandukan kepada harga kain semasa.

“Selagi masih sihat dan berdaya, saya akan terus menjahit kerana tidak mahu hampakan harapan mereka (pelanggan).

“Selain untuk dipakai, ada pelanggan yang datang khususnya pelanggan lama mahu menempah kot dan baju sebagai kenang-kenangan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI