fbpx

Pengguna persoal caj RM1 untuk naik bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOTIS caj RM1 yang dipamerkan di kaunter tiket di terminal bas sementara Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Pengguna bas ekspres di terminal sementara Sungai Petani, di sini mempersoalkan tentang caj tambahan sebanyak RM1 yang dikenakan kepada mereka setiap kali menggunakan perkhidmatan awam di situ.

Dakwa mereka, caj itu dikenakan bagi membolehkan mereka mendapat pas masuk untuk meneruskan perjalanan walaupun tiket telah dibeli di kaunter atau secara dalam talian.

Seorang pengguna, Khadri Mat Radzi, 29, berkata, sepatutnya pihak pengurusan jualan tiket di situ tidak membebankan pengguna dengan mengenakan caj tambahan dengan alasan perlu mencetak pas masuk tersebut.

“Sepatutnya caj ini tidak perlu dikenakan kerana penumpang boleh menunjukkan tiket yang dibeli terus di kaunter kepada petugas sebelum menaiki bas.

“Begitu juga belian tiket secara dalam talian juga adalah mencukupi untuk penumpang menunjukkan bukti menerusi telefon pintar kerana semua maklumat nombor kerusi, nombor bas sudah tertera,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang pengguna, Salmiah Hamid, 42, berkata, dia selalu menggunakan perkhidmatan awam untuk ke Kuala Lumpur dari terminal berkenaan.

“Pembelian tiket secara dalam talian sememangnya mudah tetapi apabila ingin menaiki bas di sini kami terpaksa membuat pengesahan di kaunter dan dikenakan caj RM1.

“Jadi apa gunanya membeli secara dalam talian tetapi ketika hendak menggunakannya perlu kembali kepada sistem manual yang membabitkan kos tambahan,” ujarnya.

Seorang penumpang bas ekspress yang mahu dikenali sebagai Diana berkata, dia juga hairan kenapa pengguna dibebankan dengan caj tambahan ketika menggunakan perkhidmatan bas di situ.

“Penggunaan sistem komputer berpusat untuk membeli tiket di kaunter sememangnya bagus kerana kita tidak akan ditipu oleh ulat tiket seperti sebelum ini.

“Tetapi dengan caj yang dikenakan ini bererti ia hanya menguntungkan pihak yang menguruskan jualan tiket sahaja sedangkan pengguna ditekan,” katanya.

Sehubungan itu penumpang berharap pihak berkuasa mengeluarkan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh operator jualan tiket ke arah menaik taraf perkhidmatan dan tidak mengenakan caj berlebihan kepada penumpang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI