JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bersedia membantu remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik-beradiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kisah tragis itu memberi kesan kepada Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, apatah lagi kehilangan ibu bapa serta empat adiknya sekelip mata.
“Semua pasti mengetahui berita kemalangan lori treler yang mengakibatkan kematian enam sekeluarga semalam (Jumaat). Suaminya seorang imam (Amir Ruddin) dan isterinya (Norahimah) seorang guru KAFA. Kedua-duanya amat dekat di hati saya sebab mereka adalah kakitangan di bawah portfolio saya.
“Pada masa sama, kita akan bantu anak muda ini (Abdul Rahman) sekiranya ada bantuan yang dapat kita usahakan, kita juga tadi (semalam) serahkan sumbangan tanda berkongsi kesedihan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook malam semalam.
Semalam, Mohd Fared bersama-sama Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Selamat Takim melawat Abdul Rahman di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar.
“Kita bacakan tahlil dan doa tadi. Semoga roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah. Amin.
“Masih dalam keadaan terperanjat dia (Abdul Rahman) tapi dia pemuda yang kuat. Kita doakan dia tabah atas ujian yang sangat besar,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 6.37 petang itu, Amir Ruddin Ismail, 46, merupakan imam di sebuah masjid di Kluang manakala Norahimah Noor Muhammad, 43, guru agama di sebuah sekolah agama di Felda Kemedak, Segamat terkorban dalam nahas membabitkan lima kenderaan itu.
Empat adik-beradik Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kemalangan itu ialah Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.
Seorang lagi mangsa Abdullah Amir Ruddin, 15, yang mengalami kecederaan teruk masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat dan kini ditidurkan. – KOSMO! ONLINE