fbpx

Imam maut ketika dalam perjalanan tunai solat hajat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harison (kiri) menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut ketika dalam perjalanan menunaikan solat hajat di Kampung Delima, Wakaf Bharu dekat Tumpat malam tadi. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TUMPAT – Seorang imam yang sedang dalam perjalanan untuk mengimamkan solat hajat maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah trak pikap di Kampung Delima, Wakaf Bharu di sini malam tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 9.30 malam itu, Ismail @Yunus Yusof, 73, yang merupakan imam Masjid Al-Taqwa, Kampung Perupok di Wakaf Bharu di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri allahyarham, Harison Mahat, 66, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah anaknya di Melaka.

“Saya terkejut apabila ada saudaranya menelefon dan memaklumkan bahawa arwah terlibat kemalangan ketika menunggang motosikal. Ketika itu, dia baru sahaja menunaikan solat isyak di masjid dan sedang dalam perjalanan untuk menunaikan solat hajat di rumah anak saudaranya di Kampung Lambor, Wakaf Bharu.

“Saya pada mulanya ingat suami terlibat dengan kemalangan biasa sahaja, namun luluh hati apabila dimaklumkan bahawa arwah meninggal dunia kejadian,” katanya ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Perupok di sini hari ini.

Allahyarham Ismail @Yunus.

Harison menberitahu, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, arwah suaminya dipercayai menunggang motosikal di tepi jalan dalam keadaan melawan arus sebelum dirempuh sebuah trak pikap.

Katanya, keadaan atau sifat arwah Ismail juga sama seperti biasa ketika dia ingin meninggalkan suaminya sendirian untuk ke Melaka pada Rabu lalu.

“Sebelum bergerak ke Melaka, saya sempat memasakkan sup kaki kambing dan makan bersamanya. Kami juga sempat bermaaf-maafan selepas menunaikan solat Subuh.

“Kebiasaannya kami jarang sarapan bersama kerana arwah sibuk mengajar al-Quran dan menguruskan masjid Masjid Al-Taqwa yang merupakan peninggalan ayah arwahnya. Masjid tersebut dahulunya surau sebelun dinaik taraf kepada dijadikan masjid,” katanya.

Menurutnya, sehari sebelum suaminya dijemput Ilahi, arwah ada menelefon salah seorang anaknya sambil berpesan agar tidak meninggalkan pengajian kitab dan al-Quran di masjid tersebut.

Tambahnya, Allahyarham Ismail meninggal lapan orang anak dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Delima di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI