fbpx

Idan Aedan banyak kali kena ‘reject’ sebab kulit sawo matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDAN AEDAN

PETALING JAYA – Pelakon Idan Aedan mendedahkan namanya pernah beberapa kali ditolak oleh produksi drama kerana dikatakan tidak memiliki piawaian rupa paras kacak untuk membintangi drama tempatan.

Bukan sahaja rupa paras yang dinilai pada pemilik nama penuh Muhammad Shahidan Abdullah, 19, warna kulitnya yang sawo matang juga menjadi punca namanya ditolak sebelum ini.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya agak struggle untuk terlibat dalam drama tempatan sebab warna kulit dan dikatakan tiada rupa.

“Media arus perdana tak mahu sangat rupa dan warna kulit seperti saya. Bukan baru-baru ini tetapi pernah melaluinya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan gala filem Tebus di sini, baru-baru ini.

Disebabkan perkara tersebut, Idan mengakui lebih banyak menerima peluang berlakon dalam filem dan drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman atau Over-The-Top (OTT).

Dia bagaimanapun melahirkan rasa simpati terhadap setiap individu yang memiliki bakat besar dalam bidang seni namun peluang tersebut dirampas hanya kerana tidak memiliki pakej lengkap seperti wajah kacak atau jelita.

“Sebab itu saya banyak dilihat dalam OTT kerana mereka tak kisah tentang paras rupa tetapi lebih menekankan hasil kerja.

“Saya tidaklah terlalu kecewa apabila nama ditolak oleh pihak produksi. Namun, agak kasihan untuk individu lain yang memiliki bakat besar tetapi tidak mempunyai rupa tetapi tidak diberi peluang.

“Saya tidak kasihan sangat dengan diri saya sebab syukur rezeki lakonan tidak pernah putus.Terima kasih kepada mana-mana rumah produksi,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia memberitahu pernah juga menerima kutukan daripada segelintir individu mengenai warna kulit yang dikatakan gelap.

“Saya pernah dikutuk apabila ada yang mempersoal mengapa warna kulit gelap sangat. Tidak terasa sangat sebab keluarga banyak beri sokongan dan semangat.

“Memang banyak terima komen sebegitu tetapi saya biarkan sahaja sebab tak mahu ganggu fikiran.

“Biarlah orang nak cakap apa pun, cuma teruskan jadi positif sahaja,” jelasnya.

Menerusi filem Tebus, Idan turut bergandingan dengan Aedy Ashraf, Ahirine Ahirudin, Azhan Rani dan Jay Iswazir.

Tebus yang ditayang dalam platform Prime Video bermula 31 Ogos lalu itu merupakan terbitan Vian Media Sdn. Bhd. dan hasil arahan Jason Chong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI