ALOR SETAR – Dua lokasi tragedi kepala air yang meragut nyawa iaitu di Kampung Iboi, Baling dan kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai di Yan masih berisiko tinggi berlaku bencana itu terutama pada musim hujan ini.
Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kawasan berkenaan merupakan antara 39 ‘hot spot’ di negeri ini yang berisiko tinggi berlaku kepala air.
Katanya, di Iboi, lokasi berisiko adalah di Lata Celak manakala di kaki Gunung Jerai adalah di Titi Hayun dan Air Terjun Seri Perigi.
“Baling menjadi daerah yang mempunyai paling banyak ‘hot spot’ iaitu 11 lokasi antaranya Lata Celak, Iboi; Lata Bayu, Kuala Kedua, Lata Bukit Hijau, Teratak Simpul, Air Panas Ulu Legong dan Lubuk Badak.
“Ia diikuti enam lokasi di daerah Yan iaitu Titi Hayun, Air Terjun Seri Perigi, Air Terjun Batu Hampar, Taman Rekreasi Sungai Badak, Sungai Bukit Kuari dan Kem Rekreasi Puteri Mandi,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE