PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tharman Shanmugaratnam yang memenangi Pilihan Raya Presiden Singapura pada 1 September lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mendoakan hubungan dua hala dan jalinan kerjasama antara Malaysia dan Singapura terus utuh susulan kemenangan mantan Menteri Kanan Singapura itu.
“Mendoakan agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama di antara Malaysia dan Singapura terus utuh dalam semangat kekeluargaan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, selain mengharapkan Singapura terus makmur dan sejahtera di bawah kemudi beliau.
“Selamat maju jaya kepada Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden baharu Republik Singapura,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Shanmugaratnam, 66, memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden Singapura selepas mengalahkan dua pencabarnya apabila memperoleh 70.4 peratus undi. – KOSMO! ONLINE.