PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lalu.
Istana Negara menerusi satu hantaran di Facebook berkata, baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mereka sekeluarga dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Enam sekeluarga mangsa kemalangan maut tersebut ialah Amir Ruddin Ismail, 46, Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah Amir Ruddin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Ruddin, 13, Rufaidatul Asyariyah Amir Ruddin, 10 dan Muhammad Assyakrawi Amir Ruddin, 5,” tulisnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan jenazah enam beranak yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori itu selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah Parit Limbong, Muar, Johor.
Kesemua mangsa dikebumikan kira-kira pukul 4.50 petang semalam.
Sebelumnya, anak sulung keluarga itu, Abdurrahman Amir Ruddin, 19, mengimamkan solat jenazah di Masjid Ubudiah yang dihadiri kira-kira 500 tetamu. – KOSMO! ONLINE